RENCANA KHAS
Oleh: GreenHood
Aman Kampus kembali lagi menjelajah bumi tercinta, Malaysia, dan kali ini destinasi mereka adalah Sabah.
Sabah, negeri di bawah bayu merupakan negeri terakhir dalam siri jadual Aman Kampus keseluruhannya.
Saya kembali dipanggil untuk mengikuti siri jelajah ini oleh sekretariat yang dipengerusikan secara bersekutu oleh saudara Mohd Shahar Abdullah, juga Presiden Alumni Aspirasi Malaysia (Aspirasi).
Saya tiba lewat 3 hari dari jadual kerana kekangan tugas yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.
Maka saya terlepas jelajah awal yang bermula dari Kota Kinabalu sebagai ‘starting point’ siri jelajah diberi jolokan ‘Aman Kampus Di Bawah Bayu’ (AKDBB) ini.
Begitu juga ‘check point’ seterusnya iaitu Labuan, Menumbok dan Beaufort.
Saya berjaya ‘mengejar’ rombongan AKDBB semasa mereka berada di ‘check point’ Sipitang.
Seterusnya bermulalah ‘kembara saya’ dalam kembara ‘AKDBB’.
Seperti kembara ‘Aman Kampus Kenyalang’, Sabah bukanlah negeri yang asing bagi saya. Tidak terlalu kerap, tetapi banyak kali juga Sabah saya kunjungi.
Sabah negeri di bawah bayu - Sipanggar - NCO - Pulau Layang-Layang
Terakhir, saya telah dibawa ke Kem TLDM Sipanggar kemudian menaiki ‘rover’ tentera ke kepulauan Pandanan-Sipadan-Danawan bersama-sama Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Di sana, kami dibawa melihat bagaimana operasi PASIR atau singkatannya, OPS PASIR dikendalikan oleh Angkatan Tentera Bersama (ATB).
Ini juga kali pertama saya diperkenalkan dengan teknologi “Government Integrated Radio Network” atau ‘GIRN’ iaitu satu teknologi tinggi menghubungkan rangkaian-rangkaian keselamatan negara termasuk ATM dan PDRM dan sistem GIRN inilah sebahagian dari sistem "Network Centric Operations" atau dikenali sebagai NCO yang menjadi sebutan beberapa pihak tertentu.
NCO, satu teknologi yang amat penting kami (bersama-sama editor kanan media prima) dipertontonkan dengan keupayaan melihat sebarang pergerakan yang berlaku dari sekecil-kecil manusia hingga sebesar kapal laut yang melintasi kawasan dalam liputan radar diselenggarakan oleh ATB dengan kerjasama Sapura.
Saya yakin, walaupun banyak perkara ditimbulkan secara politik oleh beberapa pihak berkaitan NCO dan keupayaan Sapura mengendalikan sistem tersebut, ternyata kes-kes melibatkan penculikan dan samun oleh lanun yang suatu ketika dahulu digeruni penghuni-penghuni kepulauan Borneo itu berjaya diatasi dengan gerakan ATB serta kini dibantu sistem berteknologi tinggi GIRN dan NCO tersebut.
Apatah lagi, mengingati ayat yang dimaklumkan oleh menteri pertahanan sendiri bahawa Sabah, negeri terhampir dengan kepulauan Spratly bakal menjadi negeri terpenting jika berlaku sesuatu dalam perebutan kawasan yang kaya dengan hasil minyak hingga dilaporkan ia berpotensi mengeluarkan 300 billion tong dan 600 billion kubik padu gas asli.
Sama ada GIRN mahupun NCO, Sapura ternyata menjadi pelengkap kepada keupayaan keselamatan negara menerusi ATM dan PDRM dalam mengawal hampir 22 buah pulau dan 11 pesisir pantai dari Tawau hingga ke Kudat.
Kadangkala, terlalu mudah mempolitikkan sesuatu perkara hingga terlupa kesan kejayaannya walaupun masih dalam peringkat 'pembangunan'.
Begitu juga apabila trip ke Pulau Layang-Layang baru-baru ini atas jemputan Kementerian Pertahanan turut dibatalkan gara-gara kebimbangan Wisma Putra bahawa trip yang membawa menteri pertahanan itu boleh membangkitkan perasaan ‘tidak senang’ negara jiran terutamanya Republik China. Mengapa Malaysia begitu mudah tunduk kepada ‘kuasa asing’ sedangkan kepulauan tersebut adalah dalam milikan Malaysia sendiri.
Sejujurnya, amat terkilan sekali saya tidak dapat menjejakan kaki ke pulau yang disebut-sebut sebagai antara pulau tercantik di dunia.
Berbalik pada kisah Aman Kampus Di Bawah Bayu (AKDBB), ternyata ia merupakan satu pengembaraan yang lain dari yang pernah saya lakukan di Sabah.
"Aman Kampus Di Bawah Bayu (AKDBB)"
Terus-terang saya katakan bahawa pengembaraan AKDBB ini lebih mencabar dari siri-siri jelajah Aman Kampus sebelum ini.
Saya akui, dari segi persiapan dan prasarana, Aman Kampus Kenyalang mungkin tidak menawarkan penginapan selesa dan kesukaran mencari bekalan makanan halal kepada para peserta ekspedisi tersebut berbanding AKDBB.
Sebaliknya AKDBB, selain perjalanan yang sukar menggunakan pacuan 4 roda (4WD) di trek 'off-road' merentasi 'jalan balak' Kalabakan sejauh hampir 300km untuk berada di Tawau dari Keningau, sejujurnya tiada masalah yang timbul dari segi tempat tinggal dan makanan kepada 130 orang pesertanya.
Tetapi, sepanjang pengembaraan AKDBB tersebut seolah ada 'sesuatu' yang mengganggu 'mental dan fizikal' para peserta yang terdiri dari 70 urusetia dan mahasiswa/siswi dari Semenanjung dan 60 mahasiswa/siswi dari Sabah sendiri.
Gandingan anak Semenanjung dan Sabah ini sewajarnya menjadi satu gandingan mantap namun sebagaimana yang saya nyatakan terdahulu di atas, kelancaran AKDBB seolah-olah tersekat oleh sesuatu.
Apakah sebenarnya yang berlaku? Saya akan membawa seluruh pembaca budiman ke pengembaraan saya bersama AKDBB dalam siri II nanti.
(bersambung)
|
No comments:
Post a Comment