Salah satu perkara yang turut popular di Sabah, selain
Gunung Kinabalu dan Jambatan Tamparuli, adalah perkampungan air.
Dalam jelajah “Aman Kampus Di Bawah Bayu” (AKDBB) ini, kami
sempat memasuki perkampungan air sebanyak dua kali.
Pertama, sewaktu di Semporna dan kedua sewaktu di Sandakan.
Di Sandakan, kami memasuki perkampungan air Kg Baru Gas bagi
menjalankan “Info Siswa”; mengkaji pendapat serta menarik keluar maklumat dari
penduduk di situ sebanyak yang mungkin.
Malamnya pula, telah diadakan majlis pelancaran AKDBB bagi
kawasan Sandakan yang disempurnakan oleh YBM Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli
parlimen Putrajaya merangkap Setiausaha Agung UMNO Malaysia.
Kedua, sewaktu kami berada di perkampungan air Kg Simunul,
Semporna. Di kampung ini, para peserta telah diserahkan kepada ketua kampung
untuk diserahkan pula kepada keluarga-keluarga nelayan di perkampungan ini
sebagai anak angkat kepada mereka.
Pengalaman menjadi anak angkat kepada keluarga nelayan
perkampungan air Simunul amat berharga walau pun singkat.
Ada sedikit masalah dari segi komunikasi terutama
warganegara emas yang menjadi ibubapa angkat kepada kami; masih pekat
menggunakan bahasa Bajau Laut namun anak-anak mereka yang menjadi kakak, abang
atau adik kepada peserta agak fasih berbahasa kebangsaan.
Kemesraan ternyata adalah sebahagian budaya kaum nelayan
Bajau Laut ini dan kehadiran kami memang amat dihargai sebagaimana kami
menghargai mereka yang sanggup menerima kami sebagai “anak”.
Misalnya, “keluarga angkat” saya dalam kesempatan waktu yang
singkat ini telah membawa kami menaiki bot kecil menyelusuri rumah-rumah apung
di perkampungan ini seterusnya menunjukkan kami kawasan di mana mereka mencari
rezeki iaitu “laut”.
Rakan bertugas saya, brader jai punyai pandangan peribadinya
tentang ini (klik).
Fakta Tentang
Perkampungan Air
Sama ada perkampungan air Simunul atau Kg Baru Gas atau
mana-mana perkampungan air adalah kawasan penempatan bagi “nelayan” di Sabah.
Sumber pendapatan mereka datangnya dari hasil laut seperti
ikan, sotong, ketam dan lain-lain.
Satu ketika dahulu, perkampungan air punyai kontroversi
tersendiri apabila rumah yang mereka dirikan di atas laut tidak mendapat
pengiktirafan dari pejabat tanah dan negeri. Namun, kini ia bukan lagi menjadi
masalah utama kerana kawasan penempatan nelayan itu telah digazetkan sebagai
perkampungan nelayan walaupun didirikan di atas laut. Ia tetap berhubung dengan
darat dan kawasan darat serta laut itu sama-sama telah digazetkan sebagai
penempatan mereka.
Secara peribadi, kami beranggapan bahawa apa yang kurang dan
menjadi masalah kepada kaum nelayan ini adalah infrastruktur jalan perantara di
antara satu rumah ke rumah yang lain. Tidak timbul soal mendapatkan air yang
bersih mahu pun bekalan elektrik kerana setiap rumah telah dibekalkan dengan
meter air dan elektrik sendiri.
|
jalan konkrit buat masa ini hanya setakat di bahagian darat dan belum dilakukan atas pelantar dari rumah ke rumah |
Hanya jalan pelantar yang disebutkan di atas menjadi masalah
peribadi kepada keluarga yang membina rumah baru di atas laut tersebut terpaksa
membuat jalan pelantar sendiri dan ia menjadi tidak tersusun dan menggunakan
bahan kayu yang tidak “standard” dan uzur.
Masalah ini jelas kelihatan di Kg Baru Gas, terutamanya.
Selain itu, masalah sampah-sarap begitu ketara dilihat terutama
sewaktu air surut; terkumpul ditebing perkampungan juga adalah satu perkara
yang perlu diambil perhatian.
Saya akui turut tidak boleh memikirkan apa kaedah yang
terbaik bagi mengatasi masalah sampah-sarap ini namun pasti ada jalan
penyelesaiannya.
Jika bandar terapung di Amsterdam atau Itali boleh menjadi kawasan
pelancongan terkenal, masakan tidak bagi perkampungan air yang begitu popular
wujud di Sabah ini turut menjadi tarikan pelancong hanya jika masalah-masalah
di atas dapat diatasi?
Ayuh kita fikir-fikirkan.
|
jika ada anugerah "keluarga paling ceria dan sporting" di Kg Baru Gas, sudah pasti saya pilih mereka :) |
catatan: GH / Likas / 110712 / 0900hrs