Social Icons

Pages

Friday, 20 July 2012

#AMANKAMPUSDIBAWAHBAYU - LAGI LAGI KISAH TERKANTOI TIDUR BERSAMA (UNTOLD STORY)



lepas nampak tajuk tu, mesti dalam fikiran korang ... "perhh ! terukk gilaa perangai budak nie rupanya !" ataupun .. "ermm, macam takk biasa~" hahahah . Apa-apa jak lahh kan3 ... 

MEREKA TERTANGKAP TIDUR BERSAMA... 
mak cik dan pak cik dekat luar tuu jgan buat tanggapan negatif dulu.. Anaknda baru nak start cerita nie ... 
kalau korang pernah buka blog AMAN KAMPUS DI BAWAH BAYU .. korang mesti baca satu entri 

PESERTA SISWA-SISWI #AMANKAMPUSDIBAWAHBAYU TERTANGKAP TIDUR BERSAMA


hahaha . . Aku "terharu sangat" bilaa dorang bubuh gambar aku yang "so sweet" kat dalam blog tuu .. *aku tak kesah punn sebenarnya .. kenangan juga pulak tuu ... 
soo, kiranya coretan aku malam nie maw balas balik "budi dan jasa baik" mereka yang banyak menabur bakti, membangunkan ummah, bangsa dan negara .

sebelum nie kita nampak para peserta siswa-siswi yang terlentuk sakan ... 
malam ini, terbongkarlah misteri yang tidak semua dapat melihat dengan hanya menggunakan mata kasar... HOHOHOH ! *walaupun tidak banyak gambar yang aku dapat buat masa nie .. 

SAKSIKANLAH . . . 

gaya lentuk paling stylo . 

bayangkan para urusetia bangun awal pagi semata-mata memastikan aktiviti-aktiviti yang akan para 
peserta siswa-siswi berjalan lancar. Waa Tabik Spring kat Luu Bro !

ready nak tidur sebenarnya nie~ hihihi .

 ada masa tidur, tidur lahh.. hahah XD

kalau nak lentuk, bahu orang punn jadi bantal . 

gunakan masa dengan sebaiknya  :P

: muka terpaksa di cover . terlalu kerap tidur ! hahaha :D

Now, 
DRAW. 

Tunggu gambar lain lagi lepas nie ... mana lahh tahu, ada gambar yang best untuk di share !

Saturday, 14 July 2012

#AMANKAMPUSDIBAWAHBAYU : CATATAN TERAKHIR SIRI I


#AmanKampusDiBawahBayu : Pengembaraan Terakhir Aman Kampus (Siri I)


Written by GreenHood   
Saturday, 14 July 2012 12:33

RENCANA KHAS


Oleh: GreenHood
Aman Kampus kembali lagi menjelajah bumi tercinta, Malaysia, dan kali ini destinasi mereka adalah Sabah.

Sabah, negeri di bawah bayu merupakan negeri terakhir dalam siri jadual Aman Kampus keseluruhannya.

Saya kembali dipanggil untuk mengikuti siri jelajah ini oleh sekretariat yang dipengerusikan secara bersekutu oleh saudara Mohd Shahar Abdullah, juga Presiden Alumni Aspirasi Malaysia (Aspirasi).

Saya tiba lewat 3 hari dari jadual kerana kekangan tugas yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu.

Maka saya terlepas jelajah awal yang bermula dari Kota Kinabalu sebagai ‘starting point’ siri jelajah diberi jolokan ‘Aman Kampus Di Bawah Bayu’ (AKDBB) ini.

Begitu juga ‘check point’ seterusnya iaitu Labuan, Menumbok dan Beaufort.

Saya berjaya ‘mengejar’ rombongan AKDBB semasa mereka berada di ‘check point’ Sipitang.

Seterusnya bermulalah ‘kembara saya’ dalam kembara ‘AKDBB’.

Seperti kembara ‘Aman Kampus Kenyalang’, Sabah bukanlah negeri yang asing bagi saya. Tidak terlalu kerap, tetapi banyak kali juga Sabah saya kunjungi.

Sabah negeri di bawah bayu - Sipanggar - NCO - Pulau Layang-Layang

Terakhir, saya telah dibawa ke Kem TLDM Sipanggar kemudian menaiki ‘rover’ tentera ke kepulauan Pandanan-Sipadan-Danawan bersama-sama Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.



Di sana, kami dibawa melihat bagaimana operasi PASIR atau singkatannya, OPS PASIR dikendalikan oleh Angkatan Tentera Bersama (ATB).

Ini juga kali pertama saya diperkenalkan dengan teknologi “Government Integrated Radio Network” atau ‘GIRN’ iaitu satu teknologi tinggi menghubungkan rangkaian-rangkaian keselamatan negara termasuk ATM dan PDRM dan sistem GIRN inilah sebahagian dari sistem "Network Centric Operations" atau dikenali sebagai NCO yang menjadi sebutan beberapa pihak tertentu.

NCO, satu teknologi yang amat penting kami (bersama-sama editor kanan media prima) dipertontonkan dengan keupayaan melihat sebarang pergerakan yang berlaku dari sekecil-kecil manusia hingga sebesar kapal laut yang melintasi kawasan dalam liputan radar diselenggarakan oleh ATB dengan kerjasama Sapura.

Saya yakin, walaupun banyak perkara ditimbulkan secara politik oleh beberapa pihak berkaitan NCO dan keupayaan Sapura mengendalikan sistem tersebut, ternyata kes-kes melibatkan penculikan dan samun oleh lanun yang suatu ketika dahulu digeruni penghuni-penghuni kepulauan Borneo itu berjaya diatasi dengan gerakan ATB serta kini dibantu sistem berteknologi tinggi GIRN dan NCO tersebut.

Apatah lagi, mengingati ayat yang dimaklumkan oleh menteri pertahanan sendiri bahawa Sabah, negeri terhampir dengan kepulauan Spratly bakal menjadi negeri terpenting jika berlaku sesuatu dalam perebutan kawasan yang kaya dengan hasil minyak hingga dilaporkan ia berpotensi mengeluarkan 300 billion tong dan 600 billion kubik padu gas asli.

Sama ada GIRN mahupun NCO, Sapura ternyata menjadi pelengkap kepada keupayaan keselamatan negara menerusi ATM dan PDRM dalam mengawal hampir 22 buah pulau dan 11 pesisir pantai dari Tawau hingga ke Kudat.

Kadangkala, terlalu mudah mempolitikkan sesuatu perkara hingga terlupa kesan kejayaannya walaupun masih dalam peringkat 'pembangunan'.



Begitu juga apabila trip ke Pulau Layang-Layang baru-baru ini atas jemputan Kementerian Pertahanan turut dibatalkan gara-gara kebimbangan Wisma Putra bahawa trip yang membawa menteri pertahanan itu boleh membangkitkan perasaan ‘tidak senang’ negara jiran terutamanya Republik China. Mengapa Malaysia begitu mudah tunduk kepada ‘kuasa asing’ sedangkan kepulauan tersebut adalah dalam milikan Malaysia sendiri.

Sejujurnya, amat terkilan sekali saya tidak dapat menjejakan kaki ke pulau yang disebut-sebut sebagai antara pulau tercantik di dunia.

Berbalik pada kisah Aman Kampus Di Bawah Bayu (AKDBB), ternyata ia merupakan satu pengembaraan yang lain dari yang pernah saya lakukan di Sabah.

"Aman Kampus Di Bawah Bayu (AKDBB)"

Terus-terang saya katakan bahawa pengembaraan AKDBB ini lebih mencabar dari siri-siri jelajah Aman Kampus sebelum ini.

Saya akui, dari segi persiapan dan prasarana, Aman Kampus Kenyalang mungkin tidak menawarkan penginapan selesa dan kesukaran mencari bekalan makanan halal kepada para peserta ekspedisi tersebut berbanding AKDBB.



Sebaliknya AKDBB, selain perjalanan yang sukar menggunakan pacuan 4 roda (4WD) di trek 'off-road' merentasi 'jalan balak' Kalabakan sejauh hampir 300km untuk berada di Tawau dari Keningau, sejujurnya tiada masalah yang timbul dari segi tempat tinggal dan makanan kepada 130 orang pesertanya.

Tetapi, sepanjang pengembaraan AKDBB tersebut seolah ada 'sesuatu' yang mengganggu 'mental dan fizikal' para peserta yang terdiri dari 70 urusetia dan mahasiswa/siswi dari Semenanjung dan 60 mahasiswa/siswi dari Sabah sendiri.

Gandingan anak Semenanjung dan Sabah ini sewajarnya menjadi satu gandingan mantap namun sebagaimana yang saya nyatakan terdahulu di atas, kelancaran AKDBB seolah-olah tersekat oleh sesuatu.



Apakah sebenarnya yang berlaku? Saya akan membawa seluruh pembaca budiman ke pengembaraan saya bersama AKDBB dalam siri II nanti.

(bersambung)

sumber: KritisOnline

Wednesday, 11 July 2012

#AMANKAMPUSDIBAWAHBAYU GOES FISHERMEN'S FRIEND @NajibRazak @tengkuadnanreal @shaharabd @tunfaisal


Salah satu perkara yang turut popular di Sabah, selain Gunung Kinabalu dan Jambatan Tamparuli, adalah perkampungan air.

Dalam jelajah “Aman Kampus Di Bawah Bayu” (AKDBB) ini, kami sempat memasuki perkampungan air sebanyak dua kali.

Pertama, sewaktu di Semporna dan kedua sewaktu di Sandakan.

Di Sandakan, kami memasuki perkampungan air Kg Baru Gas bagi menjalankan “Info Siswa”; mengkaji pendapat serta menarik keluar maklumat dari penduduk di situ sebanyak yang mungkin.



Malamnya pula, telah diadakan majlis pelancaran AKDBB bagi kawasan Sandakan yang disempurnakan oleh YBM Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli parlimen Putrajaya merangkap Setiausaha Agung UMNO Malaysia.






Kedua, sewaktu kami berada di perkampungan air Kg Simunul, Semporna. Di kampung ini, para peserta telah diserahkan kepada ketua kampung untuk diserahkan pula kepada keluarga-keluarga nelayan di perkampungan ini sebagai anak angkat kepada mereka.

Pengalaman menjadi anak angkat kepada keluarga nelayan perkampungan air Simunul amat berharga walau pun singkat.

Ada sedikit masalah dari segi komunikasi terutama warganegara emas yang menjadi ibubapa angkat kepada kami; masih pekat menggunakan bahasa Bajau Laut namun anak-anak mereka yang menjadi kakak, abang atau adik kepada peserta agak fasih berbahasa kebangsaan.

Kemesraan ternyata adalah sebahagian budaya kaum nelayan Bajau Laut ini dan kehadiran kami memang amat dihargai sebagaimana kami menghargai mereka yang sanggup menerima kami sebagai “anak”.

Misalnya, “keluarga angkat” saya dalam kesempatan waktu yang singkat ini telah membawa kami menaiki bot kecil menyelusuri rumah-rumah apung di perkampungan ini seterusnya menunjukkan kami kawasan di mana mereka mencari rezeki iaitu “laut”.

Rakan bertugas saya, brader jai punyai pandangan peribadinya tentang ini (klik).

Fakta Tentang Perkampungan Air

Sama ada perkampungan air Simunul atau Kg Baru Gas atau mana-mana perkampungan air adalah kawasan penempatan bagi “nelayan” di Sabah.

Sumber pendapatan mereka datangnya dari hasil laut seperti ikan, sotong, ketam dan lain-lain.

Satu ketika dahulu, perkampungan air punyai kontroversi tersendiri apabila rumah yang mereka dirikan di atas laut tidak mendapat pengiktirafan dari pejabat tanah dan negeri. Namun, kini ia bukan lagi menjadi masalah utama kerana kawasan penempatan nelayan itu telah digazetkan sebagai perkampungan nelayan walaupun didirikan di atas laut. Ia tetap berhubung dengan darat dan kawasan darat serta laut itu sama-sama telah digazetkan sebagai penempatan mereka.

Secara peribadi, kami beranggapan bahawa apa yang kurang dan menjadi masalah kepada kaum nelayan ini adalah infrastruktur jalan perantara di antara satu rumah ke rumah yang lain. Tidak timbul soal mendapatkan air yang bersih mahu pun bekalan elektrik kerana setiap rumah telah dibekalkan dengan meter air dan elektrik sendiri.

jalan konkrit buat masa ini hanya setakat di bahagian darat dan belum dilakukan atas pelantar dari rumah ke rumah



Hanya jalan pelantar yang disebutkan di atas menjadi masalah peribadi kepada keluarga yang membina rumah baru di atas laut tersebut terpaksa membuat jalan pelantar sendiri dan ia menjadi tidak tersusun dan menggunakan bahan kayu yang tidak “standard” dan uzur.

Masalah ini jelas kelihatan di Kg Baru Gas, terutamanya.

Selain itu, masalah sampah-sarap begitu ketara dilihat terutama sewaktu air surut; terkumpul ditebing perkampungan juga adalah satu perkara yang perlu diambil perhatian.









Saya akui turut tidak boleh memikirkan apa kaedah yang terbaik bagi mengatasi masalah sampah-sarap ini namun pasti ada jalan penyelesaiannya.


Jika bandar terapung di Amsterdam atau Itali boleh menjadi kawasan pelancongan terkenal, masakan tidak bagi perkampungan air yang begitu popular wujud di Sabah ini turut menjadi tarikan pelancong hanya jika masalah-masalah di atas dapat diatasi?

Ayuh kita fikir-fikirkan.



jika ada anugerah "keluarga paling ceria dan sporting" di Kg Baru Gas, sudah pasti saya pilih mereka :)


catatan: GH / Likas / 110712 / 0900hrs

Monday, 9 July 2012

#WeLovePM @NajibRazak : #AMANKAMPUSDIBAWAHBAYU MERAYU PADA YANG SUDI


Ibarat abang dan adik, peserta AKDBB mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak yatim Darul Bakti, Kota Belud


Sama ada Aman Kampus fasa 1, 2, fasa #AmanKampus Kenyalang dan kini fasa #AmanKampusDiBawahBayu (AKDBB), antara kekuatan ekspedisi ini adalah segmen 'Damping Siswa'.

Mendekati masyarakat adalah satu perkara, manakala berbakti kepada masyarakat adalah perkara yang lain.

Bersesuaian dengan tema 'Anak Muda' turun berbakti,' AKDBB tidak ketinggalan menziarahi masyarakat yang 'memerlukan'.

Tidak! AKDBB tidak punyai dana kewangan bagi menyumbangkan dana wang ringgit kepada mereka yang 'memerlukan'.

Namun, lebih dari sumbangan berbentuk material, AKDBB telah menghulurkan kasih sayang dan kemesraan terutama kepada penghuni rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim dalam segmen 'Damping Siswa' ini.

Tiada ungkapan kata-kata yang mampu saya coretkan tapi rakan bertugas saya (brader jai) berjaya menghasilkan sebuah klip video ringkas untuk tatapan pembaca budiman seterusnya menghayati usaha murni anak-anak muda peserta AKDBB.

Saksikan...







Fakta Rumah Anak-Anak Yatim Darul Bakti :

Rumah Anak-Anak Yatim di atas dibina pada tahun 1995. Sehingga kini, telah diselenggara oleh 2 orang pengetua.

Ustaz Rahman Lokman menjadi pengetua semenjak 1996 hingga kini.

Menempatkan 57 anak-anak yatim piatu antara umur 7 hingga 18 tahun, 50 darinya adalah lelaki dan 7 perempuan.

Hanya bergantung kepada geran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk beroperasi dan sedikit sumbangan dari NGO mahu pun orang perseorangan, rumah anak-anak yatim ini memerlukan prasarana yang lebih baik seperti bilik air dan bilik mandi yang lebih. Juga memerlukan ruang bilik tidur yang lebih selesa terutama untuk mentelaah pelajaran dan kerja-rumah (home-work) dari sekolah.

Mempunyai tenaga-kerja seramai 9 orang termasuk pengetuanya, ramai dari tenaga-kerja rumah anak-anak yatim ini melakukan khidmat bakti secara sukarela dengan bekerja lain pada siang harinya.

Bantulah anak-anak yatim ini. Kerana Allah swt menjanjikan keredhaan-Nya yang manis kepada umat yang membantu dan menjahanamkan mereka yang memakan sedekah anak-anak malang tersebut.



Untuk peserta Aman Kampus dan seluruh anak muda di luar sana, hayati bait-bait lirik lagu popular "ANAK" yang didendangkan oleh Freddie Aguilar dalam bahasa Melayu untuk pedoman anda semua.




catatan: GH & BJ / Kota Kinabalu / 090712 / 1800hrs

Sunday, 8 July 2012

Bloggers jatuh hati di Semporna? @AmanKampus @NajibRazak @shaharabd @tunfaisal @syazwanakid #AmanKampusDiBawahBayu


Oleh : Brader Jai



Perjalanan Aman Kampus Di Bawah Bayu semakin hampir ke penghujungnya.Banyak peristiwa suka duka telah ditempuh para peserta semanjak ia bermula pada 28 Jun dan akan berakhir pada 10 Julai 2012 di Kota Kinabalu.Sepanjang jelajah ini ada beberapa perkara yang menjadi kenangan manis buat para peserta.

Semporna

Kg Simunul

Salah satu lokasi yang menjadi kenangan terbaik para peserta di Sabah ialah di Semporna dimana disinilah satu satunya mereka memperoleh keluarga angkat sepanjang jelajah.Lokasi yang dimaksudkan ialah Kg Simunul dimana yang menjadi penghuni di kampung ini terdiri daripada etnik Bajau.

Sinonim dengan namanya,etnik ini tinggal di persisiran pantai dan mendirikan kampung di atas air kerana majoriti pekerjaan penduduk disini ialah nelayan.Saya juga tidak terkecuali daripada menerima keluarga angkat.Perjalanan yang panjang bermula daripada Kota Kinabalu sehingga lokasi-lokasi berikutnya yang amat mencabar terutamanya apabila melalui 'off-road' di Kalabakan terubat apabila kami disambut seperti keluarga sendiri apabila tiba di Kg Simunul.

Apabila tiba disana majlis dimulakan dengan ucapan presiden Aman Kampus mewakili jelajah serta ketua kampung mewakili penduduk kampung.Ini merupakan satu budaya masyarakat Malaysia tidak kira di Semenanjung,Sabah dan Sarawak apabila bertandang ke tempat orang terutamanya apabila melibatkan jumlah yang besar seperti jelajah Aman Kampus.

Keluarga angkat

Penyerahan peserta keluarga angkat merupakan satu pengalaman yang mungkin baru kepada kepada sesetengah peserta kerana tinjuan saya mendapati terdapat peserta yang tidak pernah melakukan jelajah yang besar seperti ini apatah lagi menerima keluarga angkat yang mungkin asing bagi mereka.Namun kemesraan penduduk disini membuatkan tidak wujud lagi perkataan 'asing' bagi mereka.Namun,ini bukanlah kali pertama Aman Kampus menyediakan keluarga angkat bagi peserta yang menyertai jelajah kerana sebelum ini juga mereka telah menyediakan platform ini semasa  fasa pertama di Kg Masjid di Perak dan semasa berlangsungnya Aman Kampus Kenyalang.Walaubagaimanapun,saya memahami objektif dan peranan Aman Kampus dalam mendekati masyarakat.Bagaimana boleh kita katakan bahawasanya turunnya mahasiswa ke bumi Negeri Di Bawah Bayu ini adalah untuk mendekati masyarakat?Ya,salah satunya ialah mendampingi mereka sehingga ke ruang dapur bagi memastikan bahawa 'jiwa' mereka,kehidupan mereka dapat para peserta rasai.

Turun ke laut


Ini merupakan perngalaman peribadi saya turun ke laut bagi menimba secebis pengalaman sebagai seorang anak angkat kepada nelaya.Selepas berkenalan dengan ahli keluarga,saya bersama adik beradik angkat yang lain seramai tiga orang turun ke laut.

Get ready untuk turun ke laut

Turun kelaut melalui jalan air dibawah rumah adalah satu pengalaman yang tidak pernah saya alami kerana saya bukan berasal daripada keluarga nelayan.Justeru,Setiap detik adalah satu pengalaman baru kepada saya.Mungkin ini adalah perkara yang biasa bagi penduduk disini tetapi bagi individu macam saya yang berasal daripada semenanjung,jika diberi peluang untuk turun kembali ke sini,saya tidak akan teragak-agak untuk menerimanya.

Kami bergerak daripada rumah ke rumah kelong yang berhampiran mengambil masa lebih kurang 15 minit.Semasa dalam perjalanan menuju ke sana,saya lihat beberapa peserta 'marah' dan 'cemburu' kepada keluarga angkat kami kerana diberi peluang untuk menjelajah laut sementara mereka cuma dapat 'bersidai' di atas sampan milik keluarga angkat mereka sahaja.Nasiblah!

Pemandangan senja di atas kelong

Kelong yang kami lawati ini adalah tempat penternakan pelbagai jenis ikan seperti ikan Merah,Kerapu dan pelbagai yang lain.apa yang menariknya disini ialah mereka juga turut mengimport ikan-ikan yang diternak kepada negara luar seperti Jepun.Saiz terbaik yang boleh dijual kepada negara-negara ini sekitar bawah 1kg kerana rasa ikan tersebut manis berbanding yang lebih besar daripada itu menurut salah seorang ahli keluarga angkat saya yang dikenali sebagai Tom.

Ikan Ayam yang berharga Rm9 sekilo.Murah!

Kami bergerak ke pasar ikan berhampiran untuk mencari jikalau ada ikan yang sesuai untuk dipanggang untuk makan malam kami.Sudah pastinya yang menjadi pilihan kami ialah ikan segar.Jadi kami bercadang untuk membeli 2 ekor Ikan Kayu dan seekor Ikan Ayam.Yang menariknya harga seekor Ikan Ayam disini cumalah sekitar RM9 bagi sekilogram.Apa yang saya pelik ialah mengapa ikan ini digelar ikan ayam?Tidak serupa pun dengan ayam.Tiada jambul.Tiada taji.Mungkin ada sejarah tersendiri..

Perjalanan pulang dari pasar ikan

Setelah puas membelek-belek ikan,kami pulang ke rumah dan bersedia untuk mengisi perut kami dengan ikan-ikan yang baru kami beli.Tentunya segar dan kami tidak sabar ingin menikmatinya.
Time for barbeque!

Beginilah rupa ikan ayam setelah dipanggang.Maaf bukan saya yang panggang.Saya tak reti!

Our family!

Makan di luar rumah sambil menghadap laut adalah.... (tak dapat saya bayangkan perasaannya) . apa yang menarik semasa kami makan ialah Presiden Aspirasi Alumni Shahar Abdullah merangkap Pengerusi Aman Kampus yang lalu dihadapan rumah kami,apabila melihat kami sedang makan dengan seleranya,terus mengaku secar automatiknya keluarga kami ialah keluarga angkatnya.Beliau berseloroh mengatakan bahawa 'seluruh kampung adalah keluarga angkat Aman Kampus'.Dan saya pasti kenyataanya itu adalah 'valid' sewaktu makan sahaja.Begitulah hebatnya penangan Ikan Ayam panggang milik keluarga kami.Sambal sedap!Ikan sedap!yang tak sedapnya,terpaksa berkongsi dengan tuan presiden!Haha

Seluruh keluarga di Kg Simunul adalah keluarga angkat kepada AKDBB

Memikirkan kata-kata Shahar ada benarnya juga.Konsep kekeluargaan itu sebenarnya tidak terhad kepada keluarga yang kami tumpangi sahaja,malahan ia juga termasuk seluruh kampung dan komuniti yang menerima kami Aman Kampus.Konsep ini juga boleh diguna pakai oleh semua peserta apabila pulang ke kampung halaman masing-masing.Apabila wujudnya konsep seluruh kampung adalah keluarga,maka secara automatiknya kita akan menghargai dan menjaga komuniti kita seperti mana kita menjaga akhli keluarga sendiri.Walaupun tuan presiden mengungkapkan ayat itu hanya 'untuk makan'.namun kadangkala ilham atau idea individu itu tidak semestinya datang ketika di pejabat?Siapa sangka idea Wawasan 2020 dan 1Malaysia yang datang dari mantan perdana menteri dan perdana menteri mungkin datang ketika mereka sedang bersantai bersama keluarga tercinta?

Malam di Kg Simunul

Seperti biasa diadakan Pentas Anak Muda bagi memberi ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi ini untuk melontarkan idea yang baik untuk pembangunan penduduk dan masyarakat.Bezanya disini ialah bersama-sama dengan keluarga angkat kami memeriahkan majlis.Sudah tentu mereka akan mengingati kenangan ini yang mungkin hadir sekali seumur hidup bersama anak-anak angkat mereka dalam jumlah yang besar.

Lagu Gemuruh yang menjadi 'tradisi' Aman kampus

Insyallah undi mereka masih milik kerajaan

Bercerita tentang pengalaman

Malam yang singkat tidak sepatutnya berakhir dengan cepat.Saya bersama Effendi (driver UiTM) serta adik beradik angkat,Tom naik ke atas kapal dan bercerita tentang pengalaman masing-masing.Tom bercerita mengenai pengalamannya.Kebanyakan berkisar tentang kehidupan sebagai anak nelayan.Begitu juga saya.Namun topik di atas kapal menghadap laut pada malam itu lebih kepada CERITA HANTU!Saya sempat bertanya mengenai benarkah wujud hantu laut yang selalu menganggu para nelayan.Tom mengiyakan pertanyaan saya dan menceritakan bahawa memang wujud dan 'hantu' berkenaan sering wujud menyerupai ikan yang besar.Lebih besar daripada kapal!Ada yang baik dan ada yang jahat.Bergantung kepada 'nasib' mereka yang berjumpa

Aku dan Tom bercerita

Selesai bercerita panjang lebar,saya masuk tidur.Sebelum itu saya dijamu dengan sotong yang dipanggang oleh keluarga angkat kami.Besar dan sedikit liat.Paling utama ialah sambal!

Bergerak pulang

Setiap pertemua pasti ada perpisahan.walaupun hanya semalam bersama keluarga angkat,namun kemesraan mereka seperti sudah lama mereka mengenali kami.Kami bergerak sekitar jam 8.30 pagi.Masing masing seperti tidak mahu meneruskan jelajah.Ada yang mengaku bhawa mereka sudah terpikat dengan orang Sabah dan akan mencari pasangan daripada Sabah!Orang Sabah cantik dan baik bah!Namun perjuangan perlu diteruskan.Dengan berat hati kami meninggalkan Kg Simunul dan keluarga angkat kami.Dalam hati,secara peribadi jika berkesempatan berkujung ke Sabah,Kg Simunul adalah lokasi pertama yang akan saya jejaki.

Gambar kenangan untuk salah seorang peserta Aman Kampus bersama keluarga angkat

Anak muda turun berbakti,terpikat hati,abadi di sanubari

Kepada ibu,Dedet dan Nana (adik beradik angkat saya),gambar kamu urang akan saya upload nanti jika berkelapangan.Perjalanan kami diteruskan ke Sandakan untuk menyudahkan misi Aman Kampus.Sesuai dengan tema anak muda turun berbakti,terdapat satu lagi tema yang sesuai untuk menggambarkan perasaan saya dan para peserta..Anak Muda turun berbakti,terpikat hati,abadi di sanubari.Kebaikan dan kemesraan orang-orang kampung disini tidak akan kami lupakan.Insyalah bapak-bapak serta ibu-ibu akan terus menjadi ibu dan bapa angkat kami sampai bila-bila.Bapa dan ibu mertua?Err...Terpulang!

Dicatat oleh :

BJ/0913hrs/08072012

PESERTA SISWA-SISWI #AMANKAMPUSDIBAWAHBAYU TERTANGKAP TIDUR BERSAMA

Ini kisah benar.

Ini bukan main-main..

Mahasiswa dan mahasiswi yang menjadi peserta Aman Kampus Di Bawah Bayu tertangkap tidur beramai-ramai bersama-sama.

Tapi mereka tidak tidur dalam kawasan gelap dan tersembunyi sebaliknya terang-terangan tidur di khalayak awam.

Puncanya adalah keletihan kerana komitmen yang mereka berikan bagi menjayakan ekspedisi Aman Kampus ini.

Tersandar di 'alam fana'. Cuba pula perhatikan siswa di belakang tu.... merengkok beb!

Di barisan belakang sekali dan ditengah-tengah... hanyut!

Aksi paling sopan antara ramai-ramai yang 'tertangkap'

Gaya lentuk dengan di 'cover' oleh topi memang gaya paling popular kalau dalam kuliah di universiti

Bayangkanlah jika mereka akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk bersiap bagi meneruskan agenda yang telah disusun.


Kebiasaannya, selepas sarapan mereka akan terus melakukan program yang melibatkan orang-ramai seperti 'Ikon Siswa', 'Damping Siswa' dan lain-lain.


Seterusnya mereka akan bertemu orang-ramai bagi mendapat maklum-balas tentang masalah tempatan atau memberi penerangan bagi segmen 'Info Siswa'.


satu lagi gaya paling sopan 'ditangkap'

menongkat dagu adalah gaya paling 'popular'

mungkin tidur dalam kesejukan kerana pada waktu yang sama hujan lebat turun mencurah

memang penat.... ya ampuuuun... maafkan ajelah.

tak dapek den nak nolong dah

Sebelah petangnya pula mereka akan melakukan gerak-kerja seperti 'Siswa Cergas' dengan perlawanan-perlawanan persahabatan seperti bolasepak, futsal, bolatampar atau sukaneka atau 'Bakti Siswa' dengan melakukan gotong-royong membersihkan surau atau masjid atau menziarahi rumah 'Orang-Orang Tua'.


Manakala di sebelah malam, kebiasaannya akan ada program seperti 'Pentas Anak Muda' atau perasmian program oleh VIP tertentu terdiri dari pemimpin masyarakat setempat.


Dan kebiasaannya, program bagi hari tersebut akan menutup labuhnya sekitar jam 12 malam dan peserta akan kembali ke penginapan hampir jam 1 pagi.


Untuk pengetahuan para pembaca, waktu di Sabah hampir satu jam awal dari waktu di Semenanjung misalnya jika masuk waktu solat subuh di Semenanjung sekitar jam 5:45am, maka waktu solat subuh di Sabah adalah lebih kurang jam 4:30am.

Anak-anak kecil pun ramai yang tidur tapi sokongan penduduk Kg Baru Gas, Sandakan memang hebat. Hujan yang sekejap turun dan berhenti dan turun-berhenti serta berlanjutan hingga ke tengah malam namun mereka tetap tidak mahu berganjak



Jadi, maafkanlah mereka, para peserta Aman Kampus Di Bawah Bayu jika ada yang tertangkap sedang tidur terutama di penghujung-penghujung hari seperti di atas tadi.


Sejujurnya, usaha gigih mereka adalah resipi kejayaan ekspedisi Aman Kampus kali ini yang benar-benar menguji mental serta fizikal.


Sejuta tahniah diucapkan kepada mereka serta urusetia yang bertungkus-lumus demi BERBAKTI KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA.


catatan: GH / RANAU / 08072012 / 0910hrs